Followers

Thursday, March 5, 2009

SALAM MAULIDUR RASUL 1430H / 2009M

“WAHDAH PEMANGKIN KHAIRA UMMAH”


SAMBUTAN MAULIDUR RASUL
PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1430H/2009M

1. Maulidur Rasul yang jatuh pada pada hari Khamis 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571 merupakan hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W (Sallallahu Alaihi Wasallam). Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala.

2. Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.

3. Majlis Sambutan Maulidur Rasul S.A.W. Peringkat Kebangsaan diadakan pada 9 Mac 2009 (Isnin) melibatkan kira-kira 100,000 peserta yang akan berhimpun sejak awal pagi di hadapan Masjid Negara untuk kontinjen VIP dan beberapa Masjid sekitar Ibu Kota Kuala Lumpur. Perarakan dari Masjid Negara sejauh kira-kira 1.0 kilometer itu bermula dari Jalan Lembah melalui Jalan Hishamuddin ke Jalan Raja dan terus ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

4. Perarakan akan bermula jam 7.15 pagi dan diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri-menteri Kabinet dan tetamu kehormat lain.

5. Sambil membaca selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W. kontinjen berkenaan juga membawa sepanduk dengan cogankata yang mewakili pertubuhan masing-masing berasas kepada tema sambutan “WAHDAH PEMANGKIN KHAIRA UMMAH”

6. Perarakan akan berakhir kira-kira jam 9.00 pagi disusuli majlis perasmian perhimpunan yang disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni al-Marhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah. Selain itu VVIP lain yang turut hadir ialah Y.A.B. Perdana Menteri dan Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri serta isteri dan Menteri-menteri Kabinet.


*sumber diperoleh daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...